Nota
Peta Minda oleh Tony Buzan
Peta Minda lazimnya bermula
dengan satu imej di tengah-tengah kertas sama ada menggunakan lakaran tangan
mahupun perisian komputer. Daripada imej tengah atau konsep pusat, ia memancar
keluar seakan-akan cabang-cabang pokok ataupun urat-urat darah yang mengalir
dari jantung. Cabang-cabang atau urat-urat itu melambangkan apa yang terkandung
di dalam fikiran anda.
Menurut Tee et al. (b) (2009),
peta minda adalah suatu lakaran yang mempunyai tajuk atau tema di bahagian tengahnya dan beberapa
garisan yang dikembangkan dari sekelilingnya untuk menggambarkan idea-idea
penting serta dengan cabang-cabang kecil ini sebagai huraiannya. Peta minda adalah sangat sesuai digunakan
untuk membuat nota pada sesebuah topik untuk suatu mata pelajaran berdasarkan
prinsip penggunaannya. Selari dengan
tujuan peta minda iaitu ia membolehkan pelajar mencatat nota dengan mudah serta
mengingat sesuatu dengan mudah di samping menggabungkan serta menyeimbangkan kegunaan
otak kanan dan otak kiri semasa belajar.
Maka, peta minda adalah amat sesuai dan tepat bagi tujuan kajian ini
agar pelajar dapat membuat, menyimpan dan mengulangkaji nota dengan baik dan
berkesan.
Tidak hanya terhad kepada
satu-satu subjek pembelajaran, Peta Minda sesuai diaplikasikan dalam apa juga
bidang, baik untuk matematik, geografi, sejarah mahupun bagi tujuan menilai
sesuatu situasi dan masalah.
Selain diaplikasikan oleh
golongan masyarakat normal, Buzan turut menyarankan agar teknik Peta Minda
diperkenalkan kepada kelompok masyarakat istimewa. Golongan yang mengalami
masalah pembelajaran seperti disleksia dan autistik didapati lebih mudah
menyerap sesuatu tugasan setelah didedahkan kepada teknik tersebut. Lebih-lebih
lagi dalam membuka fungsi kedua-dua belah otak mereka.
Buzan yang dilantik sebagai
Resident Thinker di Kolej Wellington, Britain, menyatakan Peta Minda boleh
diperkenalkan kepada anak seawal usia setahun. Malah, teknik tersebut dikatakan
telah dipraktikkan oleh si kecil sejak dalam kandungan ibu.
Hari ini, teknik tersebut
digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat di serata dunia termasuk
syarikat-syarikat yang tersenarai dalam Fortune 500. Dengan 98 buah buku
nukilannya yang mencecah jualan jutaan naskhah di seluruh dunia, Buzan kini
boleh tersenyum puas.
Menerusi kejayaan bukunya yang
diterbitkan di lebih 150 buah negara dan diterjemahkan ke dalam 30 bahasa,
siapa lagi yang layak digelar guru pembangunan otak dan kreativiti jika bukan
Buzan.
Peta minda telah digunakan
sejak berzaman untuk tujuan pembelajaran, percambahan fikiran, ingatan,
pemikiran visualisasi dan penyelesaian masalah oleh para pendidik, jurutera,
pakar psikologi dan orang ramai secara umumnya.
Menurut Buzan (2003), peta minda digunakan dalam pelbagai bentuk dan aplikasi
termasuklah dalam bidang pembelajaran dan pendidikan di mana sering kali ia
diajar sebagai “jaring” atau “penjaringan”, merancang dan pengilustrasian dalam
kejuruteraan. Jikalau dibandingkan
dengan peta konsep yang dibangunkan oleh pakar pembelajaran pada 60-an, peta
minda adalah menyerupainya tetapi ia adalah lebih ringkas, berjejari dengan
hanya ada satu kata kunci dari pusatnya.
Peta minda dapat diaplikasikan
ke atas individu, keluarga, pendidikan dan situasi perniagaan, mencatat nota,
sumbangsaran (dalam mana idea-idea dimasukkan ke dalam peta berjejarian dari
pusat, di mana pengumpulan dan pengorganisasian dilakukan pada tahap
seterusnya), merumuskan, mengulangkaji dan menjelaskan pemikiran secara
umum. Sebagai contoh, seseorang dapat
sambil mendengar kuliah dan mencatat nota dengan menggunakan peta minda untuk
isi dan kata kunci terpenting. Seseorang
juga dapat menggunakan peta minda sebagai suatu teknik memori atau mengeluarkan
idea yang kompleks. Peta minda juga
digalakkan sebagai suatu kaedah untuk digunakan bersama ketika sesi mencetuskan
kreativiti berasaskan pensil warna.
Peta minda dapat dilukis dengan
menggunakan tangan, sama ada sebagai ”nota kasar”, sebagai contoh, ketika
menghadiri kuliah atau mesyuarat. Peta
minda juga dikenali sebagai “Swiss army knife for the brain” adalah satu teknik
mengambil nota yang telah diguna oleh lebih daripada 250 juta individu di
seluruh dunia. Pada masa yang sama, penggunaan peta minda juga amat luas dalam
dunia pendidikan dan perniagaan (Buzan, 2002).
Matlamat Buzan adalaah untuk membolehkan
“Manual operasi Otak Manusia” dimiliki oleh seramai individu yang mungkin di
seluruh dunia. Kejayaan usaha ini kian
dicapai menerusi ucaptama, media, penerbitan (lebih daripada 90 tajuk setakat
ini), perisian dan pusat-pusat latihan kursus Buzan.
Tony Buzan adalah pencipta
kepada peta minda, alat berfikir yang paling berkuasa. Pengarah Microsoft iaitu Bill Gates mengenal
pasti kepentingan peta minda dalam artikelnya bertajuk “The road ahead – how
mind mappers are taking our information democracy to the next stage” ... “ satu
generasi perisian peta minda baru mampu diguna sebagai asas templet digital
untuk bantu menghubungkait dan mensintesis idea dan data, justeru mencipta
pengetahuan baru. Peta minda adalah satu teknik mengrafik yang sungguh berkuasa
di mana ia mampu membekalkan kunci universal ke atas membuka potensi pemikiran
seseorang. Peta minda mengikat
kepelbagaian kemahiran berhubung penggunaan korteks yang melibatkan perkataan,
imej, nombor, logic, muzik, warna, kepekaan ke atas ruang dengan berkesan. Selain itu, ia juga memberi kebebasan kepada
individu menjelajahi kemampuan otak yang tiada batasannya. Peta minda boleh diaplikasikan dalam semua
aspek kehidupan di mana ia mampu meningkatkan pembelajaran dan
pemikiran seseorang individu,
justeru menggalakkan perkembangan diri.
Penciptaan peta minda bermula
pada akhir 1960-an oleh Tony Buzan yang kini digunakan oleh jutaan individu di
seluruh dunia. Peta minda digunakan oleh
semua golongan daripada yang sangat muda hingga kepada yang sangat tua di mana
mereka ingin menggunakan pemikiran dengan lebih berkesan.
TUJUAN
Tujuan peta minda adalah untuk
membolehkan pelajar:
(i) Mencatat nota dengan mudah.
(ii) Merancang sesuatu seperti
penulisan karangan, persembahan, ucapan, projek dan sebagainya.
(iii) Mengingat sesuatu dengan
mudah.
(iv) Menggabungkan dan
menyeimbangkan kegunaan otak kanan dan otak kiri semasa belajar.
KEGUNAAN
DAN KENPENTINGAN PETA MINDA
Terdapat banyak kegunaan peta
minda. Peta minda berfungsi sebagaimana
otak berfungsi – di mana ia tidak berfungsi secara linear. Ingatan adalah dalam bentuk saling berkait
dan tidak linear. Sebarang idea mungkin
mengandungi beribu hubung kait dalam otak.
Selain itu, peta minda membolehkan hubung jalinan disimpan dan dipertingkatkan
dalam pemikiran. Minda mengingati kata kunci dan imej dan bukannya ayat. Peta minda hanya menggunakan kata kunci dan
imej, justeru membenarkan maklumat yang banyak dimasukkan ke dalam sehelai
kertas. Oleh kerana peta minda
bercirikan visualisasi dan memperlihatkan hubung kait antara kata kunci, maka
ia adalah lebih mudah diimbas kembali berbanding nota berciri linear.
Mencatat bermula dari pusat
kertas membenarkan seseorang mencatat ke semua arah berbanding dari hujung atas
kiri. Pengurusan peta minda
menggambarkan bagaimana otak manusia mengurus idea. Peta minda adalah mudah dirujuk. Pada masa yang sama, merujuk secara berulang
mengukuhkan ingatan. Cara terbaik dalam
membuat rujukan adalah dengan melakukan imaginasi ke atas kandungan peta minda,
kemudian baru merujuk kembali kepada peta minda jika terdapat sebarang
kekaburan. Individu dapat mengingat pada
perkara yang mudah dilihat. Peta minda
membenarkan individu mencatat kata kunci yang mudah dilihat secara visual
dengan berkesan.
Kepentingan peta minda dapat
dihubungan dengan perkara di bawah:
(a) Menghasilkan Nota
Setiap kali maklumat dicatat,
peta minda mampu menguruskannya dalam bentuk ringkas yang mudah diasimilasi dan
diingati otak. Peta minda boleh
digunakan untuk membuat nota bagi sebarang sumber – buku, kuliah, syarahan,
taklimat, bahan bacaan, mesyuarat, temu bual dan perbualan telefon.
(b) Ingat Kembali
Setiap kali maklumat diimbas
kembali dari ingatan, peta minda membenarkan idea yang lintas pada fikiran
dicatat dengan pantas dalam keadaan terurus.
Catatan yang dilakukan tidak perlu dalam bentuk ayat penuh. Peta minda berfungsi pantas dan berkesan
dalam aktiviti imbas kembali nota kuliah, kandungan bahan bacaan dan perkara
yang telah diulangkaji.
(c) Kreativiti
Setiap kali seseorang ingin
mencetuskan suatu idea berdasarkan kreativitinya, peta minda membebaskan
pemikirannya daripada pemikiran linear dan membolehkan idea-idea baru bercambah
dengan baik. Pengguna peta minda harus
menganggap setiap item di dalam peta minda adalah pusat kepada peta minda yang
baru.
(d) Penyelesaian Masalah
Setiap kali seseorang
berhadapan dengan permasalahan – sama ada dalam bidang profesional atau
peribadi – peta minda membantu individu untuk mengenal pasti isu-isu dan hubung
kait antara satu sama lain. Selain itu,
ia juga membantu individu mendapatkan gambaran keseluruhan dengan pantas di
samping mengesan perbezaan ke atas aspek situasi dan kepentingannya.
(e) Perancangan
Setiap kali seseorang merancang
sesuatu, peta minda membantu individu memperolehi dan mengurus semua maklumat
berkaitan dengan mudah. Peta minda boleh
digunakan untuk merancang sebarang penulisan sama ada dari surat hingga ke
skrip lakonan, mahu pun buku. Di samping
itu, peta minda juga boleh digunakan untuk merancang suatu mesyuarat, aktiviti
harian, pelancongan, kerangka karangan, penulisan makalah, laporan dan
persembahan.
(f) Pembentangan
Peta minda membantu seseorang
menyediakan topik dan urutan semasa ingin membuat suatu pembentangan. Peta minda bukan sahaja membantu dalam
mengurus idea-idea dengan nyata, malah memberi satu gambaran menyeluruh secara
visual dalam pemikiran tanpa merujuk kepada helaian kertas. Peta minda sangat membantu dalam membuat
persembahan seperti laporan, kertas kerja, hasil perbincangan dan sumbangsaran.
(g) Penggunaan otak kiri dan
kanan serentak
Peta minda berupaya
menggabungkan dan mengimbangkan penggunaan otak kanan dan otak kiri semasa
belajar.
(h) Membuat sinopsis
Peta minda dapat merumuskan
pelbagai bahan bacaan ke dalam bentuk sinopsis atau ringkasan yang padat dan
lengkap. Antara bahan bacaan yang sering
kali dirumuskan adalah seperti buku, novel, cerpen dan puisi.
PENGGUNAAN
PETA MINDA DI SELURUH DUNIA
Peta
minda digunakan oleh pelbagai golongan seperti pelajar, pendidik, peniaga,
jurutera dan lain-lain di seluruh dunia termasuklah Malaysia, Singapura, China,
Vietnam, Korea, Japan, England, Ireland, Hong Kong, Mexico, Algeria, Thailand,
Indonesia, India, Afrika, Australia, Filipina, Arab Saudi, Bahrain dan
lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan