ABSD

Khamis, 11 Oktober 2012

peta minda


Nota Peta Minda oleh Tony Buzan

Peta Minda lazimnya bermula dengan satu imej di tengah-tengah kertas sama ada menggunakan lakaran tangan mahupun perisian komputer. Daripada imej tengah atau konsep pusat, ia memancar keluar seakan-akan cabang-cabang pokok ataupun urat-urat darah yang mengalir dari jantung. Cabang-cabang atau urat-urat itu melambangkan apa yang terkandung di dalam fikiran anda.

Menurut Tee et al. (b) (2009), peta minda adalah suatu lakaran yang mempunyai tajuk  atau tema di bahagian tengahnya dan beberapa garisan yang dikembangkan dari sekelilingnya untuk menggambarkan idea-idea penting serta dengan cabang-cabang kecil ini sebagai huraiannya.  Peta minda adalah sangat sesuai digunakan untuk membuat nota pada sesebuah topik untuk suatu mata pelajaran berdasarkan prinsip penggunaannya.  Selari dengan tujuan peta minda iaitu ia membolehkan pelajar mencatat nota dengan mudah serta mengingat sesuatu dengan mudah di samping menggabungkan serta menyeimbangkan kegunaan otak kanan dan otak kiri semasa belajar.  Maka, peta minda adalah amat sesuai dan tepat bagi tujuan kajian ini agar pelajar dapat membuat, menyimpan dan mengulangkaji nota dengan baik dan berkesan.
Tidak hanya terhad kepada satu-satu subjek pembelajaran, Peta Minda sesuai diaplikasikan dalam apa juga bidang, baik untuk matematik, geografi, sejarah mahupun bagi tujuan menilai sesuatu situasi dan masalah.
Selain diaplikasikan oleh golongan masyarakat normal, Buzan turut menyarankan agar teknik Peta Minda diperkenalkan kepada kelompok masyarakat istimewa. Golongan yang mengalami masalah pembelajaran seperti disleksia dan autistik didapati lebih mudah menyerap sesuatu tugasan setelah didedahkan kepada teknik tersebut. Lebih-lebih lagi dalam membuka fungsi kedua-dua belah otak mereka.

Buzan yang dilantik sebagai Resident Thinker di Kolej Wellington, Britain, menyatakan Peta Minda boleh diperkenalkan kepada anak seawal usia setahun. Malah, teknik tersebut dikatakan telah dipraktikkan oleh si kecil sejak dalam kandungan ibu.

Hari ini, teknik tersebut digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat di serata dunia termasuk syarikat-syarikat yang tersenarai dalam Fortune 500. Dengan 98 buah buku nukilannya yang mencecah jualan jutaan naskhah di seluruh dunia, Buzan kini boleh tersenyum puas.
Menerusi kejayaan bukunya yang diterbitkan di lebih 150 buah negara dan diterjemahkan ke dalam 30 bahasa, siapa lagi yang layak digelar guru pembangunan otak dan kreativiti jika bukan Buzan.

Peta minda telah digunakan sejak berzaman untuk tujuan pembelajaran, percambahan fikiran, ingatan, pemikiran visualisasi dan penyelesaian masalah oleh para pendidik, jurutera, pakar psikologi dan orang ramai secara umumnya.  Menurut Buzan (2003), peta minda digunakan dalam pelbagai bentuk dan aplikasi termasuklah dalam bidang pembelajaran dan pendidikan di mana sering kali ia diajar sebagai “jaring” atau “penjaringan”, merancang dan pengilustrasian dalam kejuruteraan.  Jikalau dibandingkan dengan peta konsep yang dibangunkan oleh pakar pembelajaran pada 60-an, peta minda adalah menyerupainya tetapi ia adalah lebih ringkas, berjejari dengan hanya ada satu kata kunci dari pusatnya.  
Peta minda dapat diaplikasikan ke atas individu, keluarga, pendidikan dan situasi perniagaan, mencatat nota, sumbangsaran (dalam mana idea-idea dimasukkan ke dalam peta berjejarian dari pusat, di mana pengumpulan dan pengorganisasian dilakukan pada tahap seterusnya), merumuskan, mengulangkaji dan menjelaskan pemikiran secara umum.  Sebagai contoh, seseorang dapat sambil mendengar kuliah dan mencatat nota dengan menggunakan peta minda untuk isi dan kata kunci terpenting.  Seseorang juga dapat menggunakan peta minda sebagai suatu teknik memori atau mengeluarkan idea yang kompleks.  Peta minda juga digalakkan sebagai suatu kaedah untuk digunakan bersama ketika sesi mencetuskan kreativiti berasaskan pensil warna.

Peta minda dapat dilukis dengan menggunakan tangan, sama ada sebagai ”nota kasar”, sebagai contoh, ketika menghadiri kuliah atau mesyuarat.  Peta minda juga dikenali sebagai “Swiss army knife for the brain” adalah satu teknik mengambil nota yang telah diguna oleh lebih daripada 250 juta individu di seluruh dunia. Pada masa yang sama, penggunaan peta minda juga amat luas dalam dunia pendidikan dan perniagaan (Buzan, 2002).

Matlamat Buzan adalaah untuk membolehkan “Manual operasi Otak Manusia” dimiliki oleh seramai individu yang mungkin di seluruh dunia.  Kejayaan usaha ini kian dicapai menerusi ucaptama, media, penerbitan (lebih daripada 90 tajuk setakat ini), perisian dan pusat-pusat latihan kursus Buzan.

Tony Buzan adalah pencipta kepada peta minda, alat berfikir yang paling berkuasa.  Pengarah Microsoft iaitu Bill Gates mengenal pasti kepentingan peta minda dalam artikelnya bertajuk “The road ahead – how mind mappers are taking our information democracy to the next stage” ... “ satu generasi perisian peta minda baru mampu diguna sebagai asas templet digital untuk bantu menghubungkait dan mensintesis idea dan data, justeru mencipta pengetahuan baru. Peta minda adalah satu teknik mengrafik yang sungguh berkuasa di mana ia mampu membekalkan kunci universal ke atas membuka potensi pemikiran seseorang.  Peta minda mengikat kepelbagaian kemahiran berhubung penggunaan korteks yang melibatkan perkataan, imej, nombor, logic, muzik, warna, kepekaan ke atas ruang dengan berkesan.  Selain itu, ia juga memberi kebebasan kepada individu menjelajahi kemampuan otak yang tiada batasannya.  Peta minda boleh diaplikasikan dalam semua aspek kehidupan di mana ia mampu meningkatkan pembelajaran dan
pemikiran seseorang individu, justeru menggalakkan perkembangan diri.

Penciptaan peta minda bermula pada akhir 1960-an oleh Tony Buzan yang kini digunakan oleh jutaan individu di seluruh dunia.  Peta minda digunakan oleh semua golongan daripada yang sangat muda hingga kepada yang sangat tua di mana mereka ingin menggunakan pemikiran dengan lebih berkesan.

TUJUAN
Tujuan peta minda adalah untuk membolehkan pelajar:
(i) Mencatat nota dengan mudah.
(ii) Merancang sesuatu seperti penulisan karangan, persembahan, ucapan, projek dan sebagainya.
(iii) Mengingat sesuatu dengan mudah.
(iv) Menggabungkan dan menyeimbangkan kegunaan otak kanan dan otak kiri semasa belajar.

KEGUNAAN DAN KENPENTINGAN PETA MINDA
Terdapat banyak kegunaan peta minda.  Peta minda berfungsi sebagaimana otak berfungsi – di mana ia tidak berfungsi secara linear.  Ingatan adalah dalam bentuk saling berkait dan tidak linear.  Sebarang idea mungkin mengandungi beribu hubung kait dalam otak.  Selain itu, peta minda membolehkan hubung jalinan disimpan dan dipertingkatkan dalam pemikiran. Minda mengingati kata kunci dan imej dan bukannya ayat.  Peta minda hanya menggunakan kata kunci dan imej, justeru membenarkan maklumat yang banyak dimasukkan ke dalam sehelai kertas.  Oleh kerana peta minda bercirikan visualisasi dan memperlihatkan hubung kait antara kata kunci, maka ia adalah lebih mudah diimbas kembali berbanding nota berciri linear.  

Mencatat bermula dari pusat kertas membenarkan seseorang mencatat ke semua arah berbanding dari hujung atas kiri.  Pengurusan peta minda menggambarkan bagaimana otak manusia mengurus idea.  Peta minda adalah mudah dirujuk.  Pada masa yang sama, merujuk secara berulang mengukuhkan ingatan.  Cara terbaik dalam membuat rujukan adalah dengan melakukan imaginasi ke atas kandungan peta minda, kemudian baru merujuk kembali kepada peta minda jika terdapat sebarang kekaburan.  Individu dapat mengingat pada perkara yang mudah dilihat.  Peta minda membenarkan individu mencatat kata kunci yang mudah dilihat secara visual dengan berkesan.
Kepentingan peta minda dapat dihubungan dengan perkara di bawah: 
(a) Menghasilkan Nota
Setiap kali maklumat dicatat, peta minda mampu menguruskannya dalam bentuk ringkas yang mudah diasimilasi dan diingati otak.  Peta minda boleh digunakan untuk membuat nota bagi sebarang sumber – buku, kuliah, syarahan, taklimat, bahan bacaan, mesyuarat, temu bual dan perbualan telefon.
(b) Ingat Kembali
Setiap kali maklumat diimbas kembali dari ingatan, peta minda membenarkan idea yang lintas pada fikiran dicatat dengan pantas dalam keadaan terurus.  Catatan yang dilakukan tidak perlu dalam bentuk ayat penuh.  Peta minda berfungsi pantas dan berkesan dalam aktiviti imbas kembali nota kuliah, kandungan bahan bacaan dan perkara yang telah diulangkaji.
(c) Kreativiti
Setiap kali seseorang ingin mencetuskan suatu idea berdasarkan kreativitinya, peta minda membebaskan pemikirannya daripada pemikiran linear dan membolehkan idea-idea baru bercambah dengan baik.  Pengguna peta minda harus menganggap setiap item di dalam peta minda adalah pusat kepada peta minda yang baru.
(d) Penyelesaian Masalah
Setiap kali seseorang berhadapan dengan permasalahan – sama ada dalam bidang profesional atau peribadi – peta minda membantu individu untuk mengenal pasti isu-isu dan hubung kait antara satu sama lain.  Selain itu, ia juga membantu individu mendapatkan gambaran keseluruhan dengan pantas di samping mengesan perbezaan ke atas aspek situasi dan kepentingannya.
(e) Perancangan
Setiap kali seseorang merancang sesuatu, peta minda membantu individu memperolehi dan mengurus semua maklumat berkaitan dengan mudah.  Peta minda boleh digunakan untuk merancang sebarang penulisan sama ada dari surat hingga ke skrip lakonan, mahu pun buku.  Di samping itu, peta minda juga boleh digunakan untuk merancang suatu mesyuarat, aktiviti harian, pelancongan, kerangka karangan, penulisan makalah, laporan dan persembahan.
(f) Pembentangan
Peta minda membantu seseorang menyediakan topik dan urutan semasa ingin membuat suatu pembentangan.  Peta minda bukan sahaja membantu dalam mengurus idea-idea dengan nyata, malah memberi satu gambaran menyeluruh secara visual dalam pemikiran tanpa merujuk kepada helaian kertas.  Peta minda sangat membantu dalam membuat persembahan seperti laporan, kertas kerja, hasil perbincangan dan sumbangsaran.
(g) Penggunaan otak kiri dan kanan serentak
Peta minda berupaya menggabungkan dan mengimbangkan penggunaan otak kanan dan otak kiri semasa belajar.

(h) Membuat sinopsis
Peta minda dapat merumuskan pelbagai bahan bacaan ke dalam bentuk sinopsis atau ringkasan yang padat dan lengkap.  Antara bahan bacaan yang sering kali dirumuskan adalah seperti buku, novel, cerpen dan puisi.

PENGGUNAAN PETA MINDA DI SELURUH DUNIA
Peta minda digunakan oleh pelbagai golongan seperti pelajar, pendidik, peniaga, jurutera dan lain-lain di seluruh dunia termasuklah Malaysia, Singapura, China, Vietnam, Korea, Japan, England, Ireland, Hong Kong, Mexico, Algeria, Thailand, Indonesia, India, Afrika, Australia, Filipina, Arab Saudi, Bahrain dan lain-lain.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan