PENDIDIKAN ABAD KE-21
Aristotle pernah menyatakan bahawa nasib sebuah empayar bergantung
kepada pendidikan belia. Segala kekuatan atau kelemahan yang diperhatikan dalam
masyarakat berkait rapat dengan jenis pendidikan yang kita beri kepada
pemuda-pemudi kita. Selanjutnya, apakah yang dimaksudkan dengan kenyataan
‘Education is that which remains, when one has forgotten all that he learned in
school’? (Pendidikan adalah apa yang tertinggal, setelah seseorang lupa apa
yang dipelajari di sekolah.) Bukankah kenyataan itu bersifat ironik? Barangkali
kenyataan itu mengingatkan kita bahawa pendidikan bukan setakat mengisi ilmu ke
dalam kepala murid seperti kita mengisikan air ke dalam baldi. Sebaliknya,
lebih-lebih lagi dalam zaman sekarang, pendidikan seharusnya mengupayakan
seseorang dengan sikap, kemahiran dan ilmu (ASK-Attitude, Skill and Knowledge)
untuk melakukan sesuatu perkara-perkara yang perlu dan patut dilakukan dalam
konteks persekitaran yang sentiasa berubah dan semakin menjadi ‘rata’ (The
World is Flat, Thomas L. Friedman).
Mengikut Laporan UNESCO (Report Of The International Commission On Education
For The Twenty First Century), pendidikan yang berterusan sepanjang hidup harus
berasaskan empat tonggak, iaitu: ‘Learning to know’ (belajar untuk tahu);
‘Learning to do’ (belajar untuk buat); ‘Learning to live together’ (belajar
untuk hidup bersama) dan ‘Learning to be’ (belajar untuk menjadi). Pada
peringkat asas, pendidikan seharusnya dapat memberi seseorang kanak-kanak
pendedahan kepada pengetahuan yang luas dan pelbagai sebelum dispesifikkan
secara mendalam dalam bidang-bidang tertentu. ‘Belajar untuk tahu’ membantu
seseorang membina satu spektrum ilmu yang membolehkan dia memilih bidang yang
sesuai dengan lebih jitu. Ilmu di sini juga merangkumi cara belajar—sesuatu
kemahiran yang begitu diperlukan untuk memudahkan seseorang menikmati
peluang-peluang belajar yang begitu banyak dari pelbagai sumber. Ilmu yang
diperoleh harus seiring dengan kemahiran untuk melakukan tugasan berasaskan
ilmu itu. ‘Belajar untuk buat’ bukan dihadkan kepada kemahiran operasi atau
mekanikal sahaja tetapi merangkumi kompetensi-kompetensi seperti kebolehan
untuk menangani situasi-situasi yang tidak dijangka, kerja berpasukan,
menyesuaikan diri dalam pelbagai konteks sosial dan kerja.
Kita semua perlu kerap mengingatkan diri kita sendiri bahawa, tidak kira
betapapun perbezaan kita dari segi bangsa, agama, status sosial, ekonomi,
politik atau aspek-aspek yang lain, kita hidup di atas planet yang sama. Lambat
–laun, suka atau tidak suka, secara langsung atau tidak langsung, masalah orang
lain akan menjadi masalah kita juga. Berjaya atau tidak sistem pendidikan untuk
melatih ‘belajar untuk hidup bersama’ jelas dilihat dari hal-ehwal semasa yang
berlaku di sekitar kita. Satu sistem pendidikan, dari penggubalan dasar,
pembentukan struktur pentadbiran, perjawatanan, sehingga ke pelaksanaan di
peringkat sekolah, dengan sendirinya menjadi satu model (sama ada baik atau
tidak) kepada pendidikan yang berunsurkan ‘belajar untuk hidup bersama’ . Usaha
membawa pendidikan ke satu tahap yang lebih tinggi lagi dapat diperhatikan dari
aspek pemupukan saling kesefahaman antara satu sama lain, apresiasi kepada
keperluan saling bergantung (interdependence), pengurusan konfik dengan
semangat saling menghormati nilai-nilai pluralistik dan saling kesefahaman yang
mementingkan keharmonian. Di peringkat sekolah, pemupukan nilai dan kemahiran
tersebut perlu digiatkan melalui pendekatan yang lebih holistik. Dalam konteks
ini, guru-guru, ibu bapa dan masyarakat secara umumya, ada peranan untuk
membimbing mereka yang terperangkap di dalam konflik kefahaman antara apa yang
dipelajari dengan realiti. Mereka perlu diberi keyakinan bahawa konflik itu
lebih merupakan persepsi yang diakibatkan oleh prejudis dan akan menjadi
berkurangan apabila mereka membesar dan memperoleh lebih banyak ilmu. Keyakinan
positif ini harus diberi, tidak kira tahap keyakinan diri kita, demi untuk
mencipta satu masa depan yang lebih cerah apabila kita semua benar-benar dapat
hidup bersama.
Selanjutnya, ‘belajar untuk menjadi’ menuntut satu usaha pendidikan yang
gigih ke arah membangunkan modal insan yang mempunyai keperibadian yang halus,
boleh bertindak dengan lebih autonomi, berkebolehan membuat penilaian atau
pertimbangan yang lebih adil, rasional dan jitu, mempunyai tanggungjawab
kendiri yang lebih tinggi dan membolehkan potensi individu seseorang itu
berkembang dengan optimum. Sekali lagi, perkara ini merupakan satu usaha padu
yang mencabar, yang memerlukan koordinasi semua pihak dan semua peringkat yang
koheren dan realistik. Kualiti pemimpin dan guru menjadi penentu kejayaan yang
penting. Juga, semua sekolah mempunyai unsur-unsur yang berlainan yang
kadang-kadang menyebabkan kaedah acuan ala kilang tidak terlaksana. Tahap
‘autonomi’ yang berpatutan diberi kepada sekolah akan mempengaruhi usaha untuk
menyemaikan budaya pemikiran kreatif, kritis dan inovatif dalam kalangan murid
melalui program mengikut acuan tersendiri.Saling kesefahaman tentang hakikat
ini dan pengupayaan yang dibenarkan di sekolah akan memudahkan poses ‘belajar
untuk menjadi’. Perkara ini perlu ditegaskan kerana kejayaan ‘belajar untuk
menjadi’ amat dipengaruhi oleh suasana yang kondusif yang memberi ruang dan
peluang untuk pekembangan individulistik dan tanpa melalui ‘centralised mass
command’ yang terlalu kerap.
Akhir sekali, yang paling mencabar ialah bagaimana merealisasikan segala
yang dinyatakan di atas supaya ilmu pengetahuan diterjemahkan kepada amalan,
amalan dijadikan budaya, budaya membawa kejayaan, seruan menjadi realiti. Apa
yang kurang daripada itu ialah retorik sahaja.
Sumber: http://thinkingallowed1.blogspot.com/